SEBARIS KATA SEMANIS BICARA

KATA  ALU-ALUAN PENGETUA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya saya berpeluang mengabadikan kata alu-aluan dalam Portal Rasmi Samttaj.Com - Portal Panduan Pengurusan & Takwim Sekolah Tahun 2023/2024, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam. Syabas dan tahniah kepada semua pihak terutamanya Jawatankuasa Portal Rasmi Samttaj.Com yang bermaksud ‘EXCELLENCE – UNGGUL dan BERWAWASAN’ dan guru-guru yang terlibat dalam penyusunan organisasi dan aktiviti sekolah bagi tahun 2023/2024.


Sistem pendidikan merupakan sistem penting yang turut sama memacu pembangunan negara. Selaras dengan perkembangan pesat Malaysia di samping memenuhi keperluan generasi abad ke 21 pada masa ini Pelbagai usaha telah dirancang oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, manakala menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk melaksanakan program tersebut demi mencapai matlamat dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan yang memenuhi keperluan generasi masa kini terhadap sistem Pendidikan yang lebih dinamik, kreatif dan relevan.


Meskipun pelbagai program yang dirangka berbeza dengan program-program terdahulu, namun matlamat sistem pendidikan semakin ditambah baik bagi memenuhi keperluan negara pada masa akan datang malahan juga di peringkat global. Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai contoh, merupakan sistem pendidikan yang berasaskan kepada konsep mendidik murid dalam empat bidang; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan mengintegrasikan dan mengaplikasikannya dalam konteks dunia sebenar. Perkembangan dunia pendidikan dengan pelbagai program yang lebih komprehensif ini bukan sahaja mengambil kira faktor kecemerlangan akademik semata-mata tetapi turut memberi penekanan kepada membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berhemah tinggi, kreatif, inovatif dan kompetitif.

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025. TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, disokong kepimpinan yang berkualiti/berwawasan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi dan komitmen komuniti yang padu.


Di peringkat sekolah pula, diharapkan semua guru dapat mengambil bahagian yang aktif dalam setiap program yang diatur oleh setiap unit dalam usaha menggilap potensi murid ke tahap optimum. . Demi menjaga kepentingan guru-guru pula, diharapkan pembahagian tugas khas yang adil dan saksama sebagai usaha meningkatkan kepuasan kerja guru-guru dan seterusnya menyumbang kepada usaha mencapai matlamat menyediakan sistem pendidikan yang menarik, menyeronokkan dan bermakna kepada murid-murid. Akhir kata, saya yakin warga sekolah ini dapat meneruskan usaha membawa sekolah ini ke mercu kejayaan. Sekian, terima kasih.

 

‘ISTIQAMAH MENCIPTA KEUNGGULAN’


TN HJ MOHAMAD NOOR BIN ISMAIL

Pengetua
SAMT Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam

.

.