SEJARAH SAMTTAJ

Sekolah Agama Menengah Tinggi Shah Alam, mula dibina pada 30 Ogos 1982 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan telah siap pada November 1983. Ia mulai beroperasi pada tahun 1984 dengan sejumlah 320 murid lelaki yang diambil dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin Klang dengan 24 orang guru. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (D.Y.M.S) telah berkenan merasmikan sekolah ini pada 19 Mac 1987. Pada tarikh itu juga, nama SAMT Tengku Ampuan Jemaah telah mula Digunakan menggantikan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Shah Alam.

 

1996 - 2000

Pada tahun 1996, SAMTTAJ telah berpindah dan beroperasi secara sementara di Sekolah Rendah Agama Medan Harun, Petaling Jaya apabila JAIS menubuhkan sebuah IPTS yang diberi nama Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) yang beroperasi pada Tahun-tahun 1996-2000. KISDAR kemudiannya berpindah ke Bangi setelah kampus baru siap dibina dan SAMTTAJ kembali beroperasi semula ke Shah Alam.

 

24 DISEMBER 2004

Pada 24 Disember 2004, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara kerajaan negeri Selangor dengan Kementerian Pendidikan Malaysia. Berdasarkan memorandum tersebut kerajaan negeri telah bersetuju untuk mendaftarkan kesemua 3 buah sekolah agama menengah negeri Selangor termasuk SAMTTAJ di bawah Kementerian Pendidikan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dengan mengekalkan kurikulum Azhari. Sejak itu, SAMTTAJ mula mengorak langkah di persada Pendidikan arus perdana dan menikmati pelbagai kemudahan yang diterima oleh sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang lain. Kemudahan yang disediakan di SAMTTAJ ialah Pusat Sumber, Makmal Sains, Fizik, Kimia dan Biologi, Bengkel Kemahiran Hidup, Musolla, Dewan Seminar, Dewan Anggerik, Kafeteria, Dewan Makan, Pejabat, Bilik Guru, Bilik Mesyuarat, Bilik Operasi SP, Bilik Kaunseling, Bilik Disiplin, Stor Kokurikulum, Bilik ICT, Dobi, Koperasi Sekolah, Padang, Gelanggang Sepak Takraw, Gelanggang Futsal, Gelanggang Bola Jaring, Pondok Rehat dan Bilik Peperiksaan. Jumlah guru dan kakitangan terkini ialah seramai 59 orang.

 

PENUTUP

Sesungguhnya, usaha untuk memacu kecemerlangan SAMTTAJ adalah usaha yang berterusan dan memerlukan komitmen serta kerjasama semua warga SAMTTAJ; guru, murid dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) sekolah serta semua pembekal perkhidmatan. Semoga SAMTTAJ akan terus cemerlang di tahun-tahun mendatang.